Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mempertahankan
lawatan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ke Qatar minggu lepas,
dengan menggunakan jet eksekutif swasta yang dibiayai oleh kerajaan.
Malah,
Shahidan yang menerangkan lawatan Rosmah adalah kerana jemputan rasmi oleh
kerajaan Qatar, berkata rakyat Malaysia harus berterima kasih kepada Rosmah
atas lawatan tersebut.
“Sebagai
rakyat Malaysia, kita kena berbangga dan berterima kasih atas usaha dan penat
lelah yang ditanggung oleh isteri Perdana Menteri.
“Kita kena
ingat lawatan ke luar negara ini bukanlah untuk berseronok. Ini sesuatu yang
dibuat atas tanggungjawa dan kita buat secara telus.
“Lawatan
ini dibuat setelah dipohon kepada Kabinet. Kabinet pun telah meluluskan lawatan
ini,” katanya semasa satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Shahidan
turut mengucapkan terima kasih kepada Rosmah atas lawatan tersebut.
“Bagi
pihak majoriti ahli parlimen dan rakyat Malaysia, kita ucap terima kasih kepada
isteri Perdana Menteri kerana hasil lawatan tersebut cukup positif kepada
negara,” kata Shahidan.
Pada 10
November, Rosmah menghadiri Forum Ahli Perniagaan Wanita Antarabangsa Qatar
ke-4 di negara itu.
Sebelum
ini laporan media mengatakan lawatan itu dianjurkan oleh Persatuan Usahawan
Qatar dan Rangkaian Perniagaan Interaktif.
Semalam,
lawatan itu menjadi topik perbincangan hangat di Parlimen selepas Ahli Parlimen
pembangkang, membangkitkan perkara itu.
Ahli
Parlimen pembangkang bertanya adakah Rosmah layak menggunakan jet eksekutif
swasta yang dibiayai oleh kerajaan dan adakah beliau layak mewakili kepentingan
negara di peringkat antarabangsa kerana beliau bukan wakil rakyat hanya isteri
Perdana Menteri.
Sebagai
balasan, Shahidan menegaskan bahawa Kabinet memutuskan Rosmah boleh menggunakan
jet itu kerana beliau mewakili negara atas urusan rasmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan