Suatu ketika dahulu hubungan Timbalan
Presiden PKR Azmin Ali (gambar) dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad umpama bapa dan anak malah dianggap sebagai "anak
angkat". Bagaimanapun semuanya berubah selepas kontroversi pemecatan Datuk
Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Mengimbas kembali cerita
hubungannya dengan Mahathir, perkenalan Azmin dengan pemimpin penting negara
ketika itu bermula ketika beliau menjadi pemimpin pelajar di Amerika
Syarikat (AS) semasa melanjutkan pelajarannya di University of Minnesota.
"Saya kenal Dr Mahathir
lama ketika saya menjadi pemimpin pelajar Malaysia di AS.
"Saya banyak berinteraksi dengan
beliau sama ada dalam pertemuan di Amerika ketika lawatan kerja beliau ataupun
ketika saya balik ke Malaysia semasa cuti musim panas," kata Azmin dalam
satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.
Malah, Azmin juga mendedahkan
Dr Mahathir turut pernah meminta bantuannya untuk meredakan tentangan para
pelajar Malaysia yang belajar di Amerika ketika itu terhadap pentadbirannya.
"Dan ada satu ketika saya
menghimpunkan pelajar-pelajar Malaysia dari Amerika yang balik semasa cuti
musim panas untuk bertemu dengan Dr Mahathir dalam satu dialog besar.
Saya ingat hampir dua ribu pelajar.
"Ketika itu
pelajar-pelajar Malaysia di Amerika memang menentang kerajaan, ada satu tempoh
dalam tahun 80-an, dimana pelajar Malaysia termasuk yang ditaja kerajaan
menentang kuat kerajaan.
"Jadi Dr Mahathir meminta
bantuan bagaimana saya boleh memainkan peranan untuk meredakan suasana ini dan
supaya mereka memahami. Itu antara usaha yang saya buatlah," kata Azmin
ketika mengimbau hubungan baik antara beliau dengan Dr Mahathir ketika itu.
Hubungan beliau dengan Dr
Mahathir sememangnya sangat rapat ketika itu sehinggakan tarikh perkahwinannya
juga dipilih oleh bekas presiden Umno tersebut.
"Sehinggakan saya
mendirikan rumah tangga pada 7 Ogos 1988, beliau merupakan tetamu kehormat
dalam majlis perkahwinan itu.
"Malah tarikh pun dia (Dr
Mahathir) yang bagi, sepatutnya diadakan 8 Ogos 1988 tapi ketika itu tarikh
tersebut bertindih dengan majlis perkahwinan anak Tan Sri Datuk Ahmad
Razali, saudara kepada Tun Dr Siti Hasmah," kata Azmin lagi.
Malahan Azmin juga mendedahkan
penglibatan awal beliau dalam politik sekitar tahun 1987 juga bermula daripada
peluang yang diberikan sendiri oleh Dr Mahathir yang mahu beliau berada
di sisi Anwar pada ketika itu.
"Apabila saya habis tamat
buat Master dan pulang, dan dia (Dr Mahathir) kata kerjalah dengan Datuk Seri
Anwar. Yalah ketika itu dia baik. Jadi saya ikutlah arahan.
"Saya mula berkhidmat
dengan Datuk Seri Anwar pada 1 Oktober 1987 iaitu sebaik sahaja pulang dari
Amerika," katanya.
Bagaimanapun, panas tidak
berpanjangan apabila bibit hubungan suram dengan bapa angkatnya itu mula
kelihatan pada tahun 1997 sebelum insiden pemecatan Anwar sebagai timbalan
perdana menteri.
"Sebelum berlaku pemecatan 1998, saya
masih ingat pada tahun 1997 ketika surat layang telah mula diedarkan tentang
kononnya 50 Dalil ini. Saya telah bertemu dengan Dr Mahathir, kalau tidak silap
saya pada 30 Ogos 1997 secara empat mata.
"Saya berjumpa dengan
beliau untuk meminta nasihat mengenai cadangan saya untuk mengambil tindakan
mahkamah terhadap dua pegawai kanannya, pertama Tan Sri Megat Junid dan
Datuk Aziz Shamsuddin.
"Kerana kedua-duanya
adalah setiausaha politik kepada Dr Mahathir dan mereka terlibat secara
langsung dalam penulisan surat layang tersebut bersama adik saya Umi
Hafilda dan beberapa tokoh lain. Saya beritahu kepada beliau saya nak bawa
perkara tersebut ke mahkamah," kata Azmin lagi.
Menurut Azmin, bibit hubungan
keruh dengan Dr Mahathir bermula ketika itu malah telah menghidu pemecatan
bosnya lebih awal sebelum tahun 1998 lagi.
"Sebab itu kita tahu
tentang pemecatan peristiwa pemecatan tahun 1998 agak awal kerana bila kita
tengok sikap Dr Mahathir ketika itu boleh nampak perubahan yang berlaku,"
katanya.
Akhirnya, khabar angin tersebut
menjadi kenyataan selepas Anwar dipecat pada 2 September 1998, Azmin
menyifatkan insiden tersebut adalah yang paling sukar dalam hidupnya apabila
terpaksa memilih antara Mahathir ataupun Anwar.
"Jadi, bila berlaku
pemecatan 2 September 1998, bukanlah mudah untuk saya buat keputusan sama ada
nak bersama Dr Mahathir atau dengan Datuk Seri Anwar.
"Sebab you kena ingat, ini
antara nombor satu dan nombor dua di dalam negara, bukan ketua cawangan ataupun
menteri biasa. Dan untuk saya memilih, bukan satu perkara mudah," katanya.
Azmin juga mendedahkan
orang-orang kanan Anwar ketika itu yang banyak melarikan diri, antaranya
setiausaha politik Ezam Mohd Noor yang sudah pun kembali ke pangkuan Umno pada
tahun 2008 lalu.
"Termasuk Ezam sendiri dan
beberapa orang kanan Datuk Seri Anwar, sebelum September mereka telah lari
meninggalkan negara.
"Ezam lari ke Indonesia,
setahun. Dan beberapa nama lain, saya boleh namakanlah yang meninggalkan
negara," katanya.
Berbeza dengan pemimpin lain
yang sudah melarikan diri, Azmin tetap dengan kesetiaannya kepada Anwar dalam
melawan kezaliman.
"Tapi saya mengambil
keputusan untuk kekal dan beritahu Datuk Seri Anwar kalau saya tidak
mempertahankan kebenaran dan menentang fitnah ini, siapa lagi.
"Sebab saya tahu lawatan
beliau keluar dan dalam negara, saya bersama-sama dengan beliau. Jadi, saya
rasa agak malang sekali kalau saya tidak menegakkan kebenaran," katanya
lagi.
Malah, Azmin juga menjadi orang
pertama dipukul oleh pihak polis dan bukannya Anwar yang mendapat tumpuan umum
selepas insiden mata lebam.
"Malah saya menjadi orang
pertama ditangkap dan dipukul. Bukan Datuk Seri Anwar, sebab beliau dipukul 20
September 1998, saya ditangkap 16 September 1998.
"Tujuannya adalah untuk
mendapatkan satu keterangan bertulis daripada saya selaku orang paling lama
dengan Datuk Seri Anwar untuk mengiyakan fitnah ini, tentang isu liwatnya,
skandal seksnya, isu rasuahnya.
"Tapi Alhamdulillah
walaupun itu kali pertama dalah hidup saya digari, tapi Allah berikan kekuatan
kepada saya tidak menandatangani surat pengakuan palsu yang dibuat oleh pihak
polis ketika itu," cerita Azmin ketika kali pertama ditahan selama 8 hari
di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail.
Walaupun berdepan dengan
pelbagai cabaran dan halangan semasa awal reformasi pada tahun 1998, Azmin
berkata berbangga dengan apa yang dikecapi oleh PKR selepas 15 tahun bergelut
dengan pahit dan manis menentang kezaliman pemerintah.
"Sekarang Keadilan tidak
lagi seperti 1998. Saya masih ingat cabaran Dr Mahathir ketika itu bahawa
Keadilan akan terkubur dalam tempoh 6 bulan.
"Itulah tajuk utama akhbar
tapi sekarang bukan lagi enam bulan tapi sudah 15 tahun kita jadi parti yang
cukup kuat dan berpengaruh," katanya.
Apabila ditanya tentang
kesediaannya untuk berjumpa dengan Dr Mahathir, pemimpin PKR tersebut
menyatakan kesudiannya tetapi dengan syarat fitnah selama ini yang dilontarkan
kepada beliau dan Anwar mestilah dihentikan.
"Saya bersedia jumpa Dr
Mahathir sebagai pemimpin dan sebagai seorang ayah dengan syarat fitnah ini
mesti dihentikan," katanya.
Azmin juga berterima kasih
kepada Dr Mahathir kerana sepanjang menjadi setiausaha sulit Anwar, beliau
tidak pernah terfikir untuk bergiat secara aktif dalam politik malahan tidak
pernah memegang jawatan dalam Umno sehinggalah kezaliman menimpa bosnya
tersebut.
"Sebab itu saya kena
berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana beliau buat saya masuk politik
kalau tidak saya tidak pernah jadi seorang ahli politik.
"Kerana kezaliman
beliaulah (Dr Mahathir) menyebabkan saya terpanggil untuk membentuk Keadilan
lawan Dr Mahathir dan Umno."
Azmin kini memegang jawatan
sebagai timbalan presiden PKR, serta merupakan Ahli Parlimen Gombak dan Ahli
Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.
Azmin Ali lahir pada 25 Ogos
1964 dan merupakan abang kepada pengacara televisyen Azwan Ali.
Beliau mendapat pendidikan awal
di Sekolah Gurney Road (2), Kuala Lumpur dari 1971 hingga 1976.
Kemudian beliau bersekolah menengah
di Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur (1977 - 1979) dan Institut Teknikal,
Jalan Cheras, Kuala Lumpur (1980 - 1981).
Beliau menyambung pelajaran di
University of Minnesota, AS. – 1 Disember, 2013. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan