Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) menasihati pemimpin Umno supaya
tidak memegang kuasa terlalu lama bagi mengelakkan parti Melayu terbesar itu
dipenuhi dengan lebih ramai “orang bodoh”.
Bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu berkata,
seseorang pemimpin perlu mengetahui had masanya semasa berkuasa.
"Pemimpin perlu tahu hadnya, jangan terlalu lama memegang
kuasa.
"Sebaliknya akan berlaku, kamu (parti) akan mempunyai lebih
ramai orang bodoh dalam parti," kata Dr Mahathir dalam satu majlis di
International Youth Centre (IYC) hari ini.
Beliau berkata, pemimpin Umno perlu bersikap terbuka untuk
menerima mereka yang lebih bijak daripada mereka untuk menjadi pemimpin,
bukannya mengamalkan sikap suka mencantas.
"Pemimpin yang teruk adalah apabila mereka menyekat
pemimpin yang lebih pandai kerana takut tergugat," katanya.
Dr Mahathir menegaskan sekiranya seseorang pemimpin tersebut
memberikan laluan bukan bermakna beliau lemah sebaliknya orang ramai akan lebih
menghargainya.
"Setiap orang perlu menghormati masa mereka, tiba masanya
untuk memberi laluan kepada orang lain.
"Sekiranya kamu bersara lebih awal, orang ramai akan lebih
menghargai kamu," katanya lagi.
Menyentuh mengenai penamaan calon pemilihan Umno baru-baru ini,
Dr Mahathir menyifatkan ia suatu petanda sihat berlaku dalam parti tersebut.
"Saya jangka ramai yang akan bertanding tapi ramai juga
yang menarik diri.
"Tapi saya lihat ini sebagai satu petanda sihat, jika tidak
ia pasti buruk untuk parti kerana orang akan mempersoalkan transformasi yang
diperkatakan," ujarnya lagi.
Dr Mahathir juga menegaskan jawatan presiden dan timbalan
presiden Umno yang tiada pertandingan adalah suatu yang baik bagi mengelakkan
perpecahan berlaku.
Dalam pemilihan parti kali ini, Dr Mahathir juga mengesyorkan
perwakilan Umno supaya memilih pemimpin yang mempunyai bakat dan potensi,
bukannya kerana pengaruhnya.
"Saya harap pada pemilihan kali ini, perwakilan memilih
pemimpin yang mempunyai potensi dan berbakat, bukan kerana pengaruhnya,"
tegas beliau lagi.
Bekas presiden Umno itu sebelum ini turut mencetuskan
kontroversi apabila mengkritik Umno sebagai “sudah tua dan bakal mati”.
Katanya, dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan
legasinya memerintah negara ini meskipun ada pihak yang memandang serong malah
menuduh dirinya mempunyai agenda sendiri.
Katanya, Umno dahulu sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar
demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka
kebanyakannya adalah golongan muda.
Ketika penggal kepimpinannya dari 1981 sehingga 2003, beliau
berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan
dari kejayaan negara-negara luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia
sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga pernah
dinamakan sebagai salah sebuah negara "Harimau Ekonomi Asia". - 25
September, 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan