Jawapan Shahidan Kassim di Parlimen mengenai
dakwat kekal yang sebenarnya hanya menggunakan pewarna makanan benar-benar
memeranjatkan semua pihak. Ia seperti pukulan maut untuk SPR. Setelah SPR
bertegang urat mempertahankan isu dakwat kekal yang banyak dipertikaikan
sebelum ini, tetapi dengan jawapan Shahidan ini, kita rakyat Malaysia seperti
diperbodohkan mengenai dakwat kekal itu.
Malah ramai yang mengeluh, ini rupanya bentuk
Malaysia tanahairku setelah 56 tahun merdeka.
Penggunaan dakwat kekal yang didapati tidak
kekal dalam pilihanraya lalu menjadi isu besar kepada rakyat. Setelah rakyat
yang mengundi mendapati ia tidak kekal sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh
SPR, ramai yang bising mengenainya. Ramai yang membuat laporan polis
mengenainya demi untuk mempertahankan proses demokrasi, termasuk seorang
anggota tentera yang kemudian dikenakan tindakan di peringkat jabatan atas
perbuatan yang sebenarnya berniat murni itu.
SPR pula begitu pantas mempertahankan kekekalan
dakwat itu setiap kali ia dibangkitkan. Kononnya ia sudah diuji dan
ketidakkekalannya adalah kerana ia tidak digoncang sebelum diguna. Kononnya
kalau digoncang betul-betul, ia akan tahan lama. Petugas yang mencalit dakwat
diletakkan kesalahan kenapa dakwat itu mudah luntur.
Kemudian apabila ia terus dipertikaikan, SPR
memberi jawapan lain pula. Kononnya bahan kimia yang digunakan iaitu nitrat
perak dalam dakwat itu terpaksa dikurangkan atas nasihat Kementerian Kesihatan.
Seorang timbalan menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, turut
bercakap dengan hujah yang sama.
Namun kemudian SPR dimalukan pula apabila
Menteri Kesihatan berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan laporan mengenai
pengurangan nitrat perak dalam dakwat itu.
Apabila is terus dipertikaikan, SPR lalu
menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat mengenai perkara itu untuk
mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Agak menghairankan, mereka yang
menyediakan dakwat kekal itu, mereka juga yang mengujinya, mereka juga yang
mempertahankannya tetapi akhirnya kerana tekanan rakyat, menubuhkan
jawatankuasa pula.
Namun untuk mengaku kesilapan, jauh sekali.
Rakyat pula terus keliru.
Sementara rakyat di bawah terus bercakap
mengenai dakwat kekal yang tidak kekal ini dan mempertikaikan kewibawaan SPR,
isu ini sering saja tenggelam timbul. Tetapi rakyat hairan dengan jawapan
dolak-dalik dan tidak konsisten SPR mengenai isu ini. SPR seolah-olah memberi
jawapan ikut sedap mulut saja dan bukan berdasarkan fakta sebenar.
Dalam ertikata lain, jawapan SPR seperti hujah
politik seorang Ketua UMNO Cawangan saja layaknya.
Dengan jawapan Shahidan di Parlimen bahawa
tiada bahan kimia digunakan dalam dalwat kekal itu, sebaliknya hanya pewarna
makanan saja, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sepatutnya menghantukkan
kepala masing-masing ke dinding jika mereka faham erti wibawa dan integeriti.
Ini benar-benar memeranjatkan dan jelas bahawa pelbagai jawapan yang diberi
selama ini bohong belaka. Ahmad Maslan pun turut menjadi pemimpin yang
berbohong kepada rakyat.
Sudahlah hanya pewarna makanan yang digunakan,
kos pembelian dakwat kekal yang menececah RM7.1 juta turut menjadi isu. Kalau
hanya dakwat yang menggunakan pewarna makanan, bagaimana boleh harganya
mencecah semahal itu?
SPR kini tidak boleh berdolak-dalik lagi.
Jawapan Shahidan di Parlimen lebih dipercayai berbanding pelbagai hujah SPR di
sidang media. Kewibawaan SPR sebagai pengendali pilihanraya yang bebas dan adil
sudah berakhir. Rakyat berhak mempertikaikan pelbagai isu mengenai pengendalian
pilihanraya oleh SPR memandangkan untuk menguruskan hal yang begitu mudah
seperti dakwat kekal pun, mereka tidak mampu melakukannya dengan baik.
Rakyat juga hairan kenapa dakwat kekal di
negara kita menjadi begitu kalut sedangkan penggunaannya di India dan
Bangladesh tidak pernah timbul masalah dan sudah digunakan sejak puluhan tahun
lamanya. Jika susah sangat, import saja dakwat yang sama yang digunakan di
kedua-dua negara itu!
Dalam hal ini, memang tiada alasan lagi untuk
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR mempertahankan diri mereka. Sudah sampai
masanya mereka secara sukarela mengundurkan diri dan meletakkan jawatan. Tidak
perlulah berdolak-dalik lagi mengatakan perlantikan mereka atas perkenan Yang
Dipertuan Agong dan memaksa berundur kononnya mempertikaikan peranan dan
perlantikan baginda itu.
Terus mempertahankan benang basah hanya
mengeruhkan lagi keadaan. Letak jawatan dan biar orang lain yang lebih
berwibawa memimpin SPR. Memandanfkan pilihanraya kecil Kual Besut akan diadakan
tidak lama lagi, sebaiknya mereka mengundurkan diri sebelum pilihanraya itu
berlangsung.
Ternampak sekarang, dengan pelbagai kemelut
ini, merekalah yang sebenarnya sedang mencemar nama baik Yang Dipertuan Agong,
sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan di negara ini dengan jawapan dan
hujah yang entah apa-apa dan ikut sedap mulut saja mengenai dakwat kekal yang
dipertaikaikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan