Kuala Lumpur –
Tiga pelajar perempuan yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
tahun ini sepatutnya memanfaatkan cuti hujung minggu mengulang kaji pelajaran,
namun memilih untuk bermandi buih di sebuah premis di Lorong Yap Kwan Seng, di
sini, awal pagi semalam.
Bagaimanapun,
kelekaan tiga pelajar terbabit menari ghairah di dalam sebuah kolam disediakan
penganjur membawa padah apabila mereka antara 47 yang ditahan dalam serbuan
mengejut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Dalam serbuan
kira-kira jam 1 pagi, JAWI yang menerima maklumat awam mengenai parti dinamakan
Pesta Buih Artis Malaysia menyerbu premis yang dihadiri pelajar sekolah,
pasangan gay dan kekasih dan beberapa individu dipercayai selebriti beragama
Islam.
Pengarah Kanan
Penguatkuasa JAWI Wan Jaafar Wan Ahmad berkata, ketika serbuan, mereka asyik
berpesta dan menari sambil mandi buih dengan berpakaian menjolok mata.
Menurutnya,
hasil pemeriksaan 38 lelaki dan sembilan wanita berusia 17 hingga 30 tahun
ditahan.
“Serbuan dengan
kerjasama polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut menahan dua
pemilik premis berkenaan yang bersubahat menggalakkan maksiat bagi membantu
siasatan
“Kami terlebih
dulu membuat risikan selama 13 jam sebelum serbuan dijalankan dan mendapati
premis terbabit dikunjungi ramai pengunjung beragama Islam,” katanya.
Wan Jaafar
berkata, pihaknya kecewa sejurus mendapati tiga pelajar sekolah turut terbabit
dengan pesta buih yang bercampur lelaki dan perempuan.
“Kebanyakan
mereka ditahan mengikut Seksyen 35 kerana menggalakkan maksiat dan ada
pengunjung disiasat mengikut Seksyen 29 kerana berkelakuan kurang sopan.
“Mereka yang
disabitkan kesalahan berkelakuan kurang sopan boleh didenda RM1,000 manakala
Seksyen 35 boleh membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan,”
katanya.
Beliau berkata,
mandi-manda tidak menjadi masalah, namun pergaulan bebas antara lelaki dan
perempuan dengan berpakaian menjolok mata salah di sisi agama.
Difahamkan,
ketika serbuan beberapa selebriti dalam perjalanan ke premis terbabit, namun
sejurus mengetahui operasi sedang dijalankan mereka berpatah balik.
Menurut sumber,
pesta itu dianjurkan secara tertutup kepada kenalan dan pengunjung tetap yang
mempunyai tiket khas.
“Pesta ini
dianjurkan setahun dua kali iaitu pada Jun dan Disember,” katanya. - HARIAN METRO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan