Ahad, 4 Ogos 2013

TERKINI: Badariah Ditemui Mati Dibunuh Dengan Kejam, Dirogol Di Batu Caves


HAJAT seorang wanita untuk mati di bulan Ramadan menjadi kenyataan apabila dia ditemui mati dengan tiga kesan tikaman di dada di bilik tidur di rumahnya di Jalan SM 4, Taman Sunway, Batu Caves dekat Kuala Lumpur petang semalam.
Badariah Hussin, 44, yang bekerja sebagai pengemas bilik di sebuah hotel di Genting Highlands ditemui dalam keadaan terlentang dengan tangan dan kaki di bahagian lututnya terikat.
Rakan sekerjanya Rosnita Ishak, 33, berkata mangsa sering meluahkan hasratnya itu kepada beliau tetapi beliau menganggap ia hanya sebagai gurauan, dan tidak terlintas padanya ia akan menjadi kenyataan.
“Malam tadi saya tidur di rumahnya selepas dia paksa saya temankan dia bermalam dan kami sempat bersahur bersama. Pagi tadi kira-kira pukul 6.45 pagi, dia hantar saya ke stesen bas di Greenwood sebab saya kena kerja, tapi saya tidak pasti dia kemudiannya balik naik apa.
“Dia jarang balik rumah sebab kami kerja di Genting, tapi bila dia cuti panjang dia akan balik. Dia ada juga minta saya supaya tidak bekerja hari ini sebab dia nak bawak saya pergi jalan-jalan. Tapi saya berkeras untuk bekerja,” katanya ketika ditemui Bernama.
Beliau berkata berdasarkan perancangan awal mereka, dia dan Badariah bersama rakan-rakan lain ingin ke Hospital Selayang untuk melawat rakan mereka yang sakit, pada sebelah petang semalam.
“Kira-kira pukul 1 petang kawan saya hubungi dia (Badariah) tetapi tidak dapat. Jadi kawan saya datang ke rumahnya dan tengok rumah dalam keadaan bersepah dengan pintu tidak ditutup tetapi hanya pintu pagar sahaja yang berkunci.
“Lepas menjerit-jerit memanggil dia, tetapi tak ada jawapan, lalu kawan saya panggil orang untuk buka pagar rumah dan menemui arwah di dalam bilik dalam keadaan kaku dengan tangan dan lututnya berikat,” katanya yang mengenali mangsa sejak lapan tahun lepas.
Kakak ipar mangsa Fatimah Ismail, 44, berkata mangsa yang telah kehilangan ibu dan ayah sejak sekian lama merupakan anak keempat daripada enam beradik.
“Kali terakhir saya jumpa dia bulan Januari lalu, ketika dia berkunjung ke rumah saya,” katanya.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Kejadian berlaku di sebuah rumah kedai di tingkat tiga. Mangsa yang lengkap berpakaian baju kurung ditemui mati di atas lantai di bilik tidurnya dalam keadaan terlentang dengan tangan dan kaki di bahagian lutut diikat dengan kain.
“Terdapat tiga kesan tikaman di bahagian dadanya manakala kawasan sekitar dipenuhi dengan percikan darah.
“Siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk, tiada senjata ditemui dan barang berharga milik mangsa juga tidak hilang,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata siasatan lanjut akan dilakukan ekoran terdapat kesan darah pada kemaluan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive