Jumaat, 2 Ogos 2013

Lagi Kes Tembakan Terbaru.. Mangsa Sempat Memandu Ke Balai Polis


Seorang peniaga emas cedera terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya ketika kenderaannya berhenti di lampu isyarat Jalan Makmur, Pandan Indah, Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin, berkata dua lelaki menaiki motosikal Yamaha berwarna biru menghampiri kereta Toyota Camry yang dipandu peniaga itu pada jam 8.45 pagi.

"Seorang daripada lelaki terbabit melepaskan tiga das tembakan ke arah peniaga emas itu menyebabkan mangsa, Wong Foo Yui, 34, cedera di bahu," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan cedera, Wong memandu keretanya ke Balai Polis Pandan Indah, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, untuk mendapatkan bantuan.


Amiruddin berkata, Wong yang berasal dari Jalan Klang Lama, kini dirawat di Hospital Ampang dan keadaannya dilaporkan stabil.

Kes tembak hari ini adalah yang keempat dalam tempoh lima hari minggu ini.

Isnin lalu, Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya, Chong Mei Kuen, 49, cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.

Pada 29 Julai,seorang lelaki cedera parah di paha kanan selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Rabu lalu pula, pemandu van kilang N Jeevandran, 26, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di atas kiri perut dan bahagian kanan bawah pinggang di persimpangan Jalan Permai Utama, Parit Buntar, Perak. ~bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive