Sabtu, 29 Jun 2013

Lebih 20 individu disoal dakwaan rasuah Taib


SPRM telah memulakan siasatan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud dengan menyoal lebih 20 individu dan meneliti 400 fail.

PUTRAJAYA: Lebih 20 individu telah dipanggil manakala 400 fail diteliti berhubung dakwaan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kata Penolong Pesuruhjaya, Urusetia Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lim Bee Kean. 

Lim berkata 20 individu terbabit dipercayai terlibat dan disebut dalam sebuah video yang dimuat naik di dalam ‘YouTube’ serta dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan Taib. 

“Bagaimanapun siasatan telah bermula sebelum video tersebut didedahkan iaitu sejak Jun 2011,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di sini hari ini. 

Mac lepas sebuah video bertajuk ‘Inside Malaysia’s Shadow State’ didedahkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di London, Global Witness (GW) yang merakam perbualan antara penyiasat persendirian GW dengan dua sepupu Taib. 

Lim berkata bagi mempercepatkan proses siasatan kes berkenaan, sebuah pasukan petugas khas yang dianggotai 10 pegawai SPRM, Jabatan Peguam Negara dan agensi lain telah ditubuhkan dan laporan siasatan akan dikemukakan kepada Peguan Negara bagi tindakan susulan. 

Katanya apabila siasatan selesai dan keputusan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Panel Penilaian Operasi (PPO) akan dimaklumkan tentang status kes.

“PPO adalah panel bebas yang berperanan melihat aspek ketelusan dan kebebasan SPRM dalam setiap tindakan siasatan yang dijalankan.

 “Panel ini dianggotai individu daripada pelbagai latar belakang professional dan mereka dilantik mewakili masyarakat atas kepakaran dan mewakili badan profesional yang bersesuaian bagi membolehkan mereka memainkan peranan dengan berkesan,” katanya. 

Lim berkata SPRM juga dipantau Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 bagi memastikan perjalanan dan fungsi SPRM mengikut peruntukan yang ditetapkan.

 JKMR dianggotai wakil Dewan Rakyat dan Dewan Negara daripada pelbagai parti politik seperti Barisan Nasional, DAP, PAS dan PKR, katanya. Justeru, beliau menjelaskan SPRM tidak pernah berhenti daripada menjalankan siasatan berkaitan kes itu.

 Katanya siasatan kes itu dijalankan tanpa gentar atau pilih kasih, secara bebas, telus serta profesional malah SPRM mendapat kerjasama daripada semua individu termasuk Taib. Beliau berkata pendirian SPRM adalah konsisten sepanjang masa tanpa mengira latar belakang dan pangkat individu yang disiasat.

 “Sebagaimana kes-kes sebelum ini, SPRM tidak akan mendedahkan apa-apa butiran siasatan dan ia selaras dengan Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan dan hanya boleh didedahkan di mahkamah,” katanya. 

Namun, katanya, memandangkan kes ini melibatkan banyak dokumen dan pihak, kemungkinan siasatan akan mengambil masa dan siasatan akan berterusan bagi mengumpul bukti serta keterangan dengan perkembangan terbaru. - Bernama 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive