Jumaat, 28 Jun 2013

Prof Agus: Bukannya negara kita dunia ketiga, tetapi komen pemimpin kita yang kelas ketiga.



KELMARIN saya tergamam apabila Menteri di JPM Menteri menyatakan di Dewan Rakyat tentang dakwat kekal mengandungi pewarna makanan yang dibenarkan. Tetapi kenyataan itu tidak mendesak saya untuk menulis biarpun saya janggal mendengarnya. 
HARI INI saya terkedu apabila Menteri Wilayah Persekutuan pula menyatakan Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara dunia ketiga" lain. 

Saya kira kedua-dua kenyataan menteri tersebut terkeluar tajuk. Isunya ialah mengapa dakwat kekal yang digunakan oleh SPR dalam pilihan raya yang lalu tidak kekal, bukannya perlu atau tidak perlu menggunakan dakwat kekal? Saya kira soal harapan rakyat untuk melihat dakwat kekal seperti yang dijanjikan tetapi tidak kekal adalah isu besar yang perlu dijawab oleh menteri yang bertanggungjawab dan SPR. Oleh itu, kenyataan menteri di atas adalah satu jawapan yang pada saya menggambarkan bukannya negara kita dunia ketiga, tetapi komen pemimpin kita yang kelas ketiga. 

Buat apa kita membandingkan negara kita dengan dunia ketiga yang lain? Jika kita kahu bandingkan pun, dari segi sistem pengundian, negara kita masih jauh mundur ke belakang. India dan Indonesia menggunakan dakwat kekal, tetapi tidak ada kecelakaan yang menimpa pengundi mereka. Sebaliknya yang berlaku ialah sistem pilihan raya mereka dilihat demokratik, adil dan memenuhi aspirasi rakyat. Itu yang kita mahu—satu pilihan raya yang telus dan ada integriti supaya tidak timbul kontroversi seperti sekarang ini. 

Jika kita mahu bandingkan sistem pilihan raya kita dengan di negara maju, kedudukannya adalah jauh panggang dari api. Di negara maju, sistem pilihan rayanya adil dan bebas, medianya bebas dan pengurusan pilihan rayanya baik. Di negara maju, mereka tidak lagi menggunakan dakwat kekal, tetapi menggunakan sistem biometrik. Apakah kita mampu menjadi seperti mereka atau telahpun mencapai tahap seperti mereka?

Baiklah, jika kita tidak mahu gunakan dakwat kekal, saya mahu cadangkan dalam pilihan raya yang akan datang, kita gunakan mesin mengesan cap jari. Penggunaan mesin ini baik kerana selain dapat mengesahkan identiti pengundi, mesin ini juga secara automatiknya dapat menolak mereka yang cuba untuk mengundi dua kali. Mengapa timbulnya persepsi adanya pengundian dua kali ini? Ini kerana keraguan kepada senarai pengundi SPR? Bilakah SPR dapat menyelesaikan persepsi rakyat yang negatif ini?

YB pemimpin, tolong selesaikan isu dakwat kekal ini dengan baik. Tolong jangan berikan jawapan yang berterusan mendungukan rakyat. Setakat ini, saya lihat jawapan pemimpin adalah sama seperti pengail yang mengail, tetapi memilih menggunakan umpan yang tidak dimakan ikan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive