PUTRAJAYA: Polis akan mengambil tindakan sewajarnya jika penganjur Perhimpunan Black 505 tetap meneruskan acara itu tanpa melalui permohonan permit yang betul, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.
"Kita sudah ada undang-undang dan akan menguatkuasakan undang-undang tersebut. Kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang.
"Kita akan melihat keadaan. Jika ada keperluan, kita akan ambil tindakan," katanya pada sidang akhbar Majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa Putra Intelek di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Sabtu.
Pembangkang dilaporkan akan meneruskan Perhimpunan Black 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun ini walaupun tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah strategik PKR Rafizi Ramli berkata, Pakatan Rakyat tetap dengan pendirian mengadakan perhimpunan di Padang Merbok walaupun DBKL mahu mereka mengadakannya stadium.
Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PICC Dr Barathan Muniyandy mengumumkan dana RM200,000 disediakan sebagai biasiswa separa untuk anggota dan keluarga polis.
"Kami juga mahu bekerja dengan pasukan polis kerana PICC memberi tumpuan dalam kursus-kursus seperti Pengkomputeran Forensik dan Keselamatan Digital.
"Kami gembira untuk bekerjasama dengan PDRM bagi melahirkan lebih ramai graduan dalam industri dan diharapkan lebih ramai graduan boleh menyertai pasukan polis sebagai pegawai," katanya. ~sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan