Rabu, 26 Jun 2013

Shahidan 'Dedah' Dakwat Kekal Guna Pewarna Makanan !


KUALA LUMPUR - Kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah bergantung kepada individu dan usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat kekal itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata ujian yang dibuat ke atas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan pekerja media pada 2 Mei lepas membuktikan dakwat itu kekal seperti yang ditetapkan.

"Tarikh luput dakwat kekal ialah dalam tempoh empat bulan daripada tarikh ia dikilangkan dan diimport dari negara luar," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Soalan itu menyentuh kos perbelanjaan PRU13 dan dakwat kekal.

   
Shahidan berkata dakwat itu antara lain dihasilkan dengan menggunakan bahan pewarna makanan yang diluluskan.
   
Beliau berkata sebanyak RM400 juta telah diluluskan Kementerian Kewangan untuk menampung segala perbelanjaan PRU13 lepas.

Sementara itu, Shahidan berkata kos keseluruhan penggunaan dakwat kekal dalam PRU13 ialah RM7.1 juta yang meliputi pelbagai proses.   

Beliau berkata RM6.9 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja reka bentuk botol dakwat khas, berus, kotak botol dan membuat bancuhan khas dakwat.
  
"Kos tambahan lain meliputi kos pengangkutan, pembungkusan dan penyimpan dakwat kekal sebanyak RM200,000," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban).
  
Shahidan turut berkata buat masa ini, SPR tidak bercadang menyatakan nama pembekal dakwat kekal kepada umum atas aspek keselamatan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive