Jumaat, 21 Jun 2013

Majlis Peguam Malaysia dikecam halang anak mualaf peluk islam


SHAH ALAM - Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini, mengecam tindakan Majlis Peguam Malaysia kerana menghalang ibu bapa yang berstatus mualaf dalam menentukan anutan agama anak-anak mereka yang masih berusia di bawah 18 tahun.


Menurut Presiden PPMM,  Datuk  Zainul Rijal Abu Bakar, isu pengislaman anak-anak mualaf  tidak melanggar aspek kebebasan beragama dalam Perlembagaan seperti yang dipertahankan Majlis Peguam yang beranggapan ia telah melanggar prinsip kebebasan beragama di negara ini.

“Majlis Peguam mendakwa perkara itu melanggar beberapa aspek kebebasan yang termaktub dalam Perkara 12 (3) dan 12 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan,”  katanya yang dipetik dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu tersebut yang berbangkit apabila seorang saudara baru di negeri Sembilan mendaftarkan pengislaman anak beliau baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa status keislaman seseorang itu tertakluk di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa untuk memutuskannya.

“Mahkamah Sivil, Mufti, Majlis Agama negeri-negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk menukar dan meminda status Islam mana-mana individu.

“Kedudukan undang-undang itu telah dijelaskan melalui keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Azlina Jailani lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 2006,” katanya.

Dalam Perkara 12 (3) dan 12 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan, istilah 'parent' adalah cukup bermaksud dengan salah seorang iaitu ibu atau bapa.

Tambahnya lagi, arahan Kabinet 2009 seperti yang didakwa Majlis Peguam, tidak mempunyai sebarang nilai dan tidak boleh meminda apa-apa yang telah diputuskan oleh mahkamah.

Tegasnya, berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009, apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

“Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda,” katanya.

Dalam isu itu kata Zainul adalah jelas bahawa keputusan tersebut telah disandarkan pada asas yang kukuh dan bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana termaktub pada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Semua pihak termasuk Jemaah Menteri, Majlis Peguam dan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCSHT) perlu akur dengan hakikat ini dan tidak boleh mencari ruang untuk memanipulasi kedudukan ini atas nama kebebasan dan hak asasi manusia,” katanya.

“Oleh yang demikian PPMM mengingatkan semua pihak jangan cuba membuat kontroversi isu sebegini, hal ini haruslah diselesaikan oleh kedua belah pihak secara berhemah.

“Hormatilah penghakiman  yang telah diputuskan oleh Mahkamah tertinggi negara,” tegasnya. ~
sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive