SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dilihat sebagai satu lagi kegagalan mempertahankan pendidikan sebagai hak asasi rakyat.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dasar PTPTN yang liberal sudah cukup membebankan generasi muda dan jika langkah menyenaraihitam peminjamnya itu dilakukan, hanya akan memburukkan keadaan.
Katanya, ketika ini peminjam sedang bergelut dengan kadar upah dan gaji yang rendah di samping dibebankan harga rumah dan kereta yang tinggi.
"Kesannya, mereka berhadapan dengan pelbagai hutang yang berpanjangan.
"Kadar muflis juga terus meningkat dari tahun ke tahun, dan antara golongan utama yang menjadi mangsa ialah golongan muda," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut pengumuman Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh semalam yang mengatakan PTPTN akan melaksanakan penyenaraihitaman peminjam PTPTN yang ingkar kepada CCRIS, bermula bulan ini.
Menerusi langkah itu, peminjam PTPTN yang ingkar akan menerima kesan dalam kemudahan institusi kewangan seperti permohonan pinjaman peribadi, kad kredit, sewa beli kenderaan dan rumah.
Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi menegaskan, PR tidak mempertikaikan tanggungjawab peminjam yang mampu dan berpendapatan baik untuk membayar semula hutang PTPTN.
Namun PR mempertikaikan tindakan itu terhadap peminjam yang terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan berasal daripada keluarga tidak berkemampuan.
"Harus diingat, kebanyakan mahasiswa yang menggunakan kemudahan PTPTN merupakan mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana rendah.
"Sekiranya keluarga mereka mampu, sudah tentu mereka tidak meminjam dana PTPTN," katanya lagi. - SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan