PELABUHAN KLANG, 4 OGOS: Laporan kewangan terkini dari Jabatan Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan rezab Kerajaan Negeri Selangor terus meningkat dari RM2.7 bilion sebelum ini kepada hampir mencecah RM3 bilion.
Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, wang rezab itu kemudiannya akan diuruskan mengikut satu garis panduan yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2014 pada bulan November akan datang.
“Dalam Belanjawan November nanti kita akan terangkan bagaimana kita mentadbirkan rezab negeri, bagaimana penggunaannya jika perlu.
“Hanya lima tahun lepas kita asyik sibuk memastikan simpanan kita terkumpul, baru kali ini kita dah ada simpanan terkumpul dan sekarang kita boleh buat beberapa program menggunakannya dengan lebih tertib dan lebih efisyen,” kata Abdul Khalid .
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Shopping Bantuan Raya di Pasaraya Besar Econsave, Pandamaran di sini.
Ujar, Abdul Khalid memberitahu pada ketika ini Kerajaan Negeri tidak menetapkan sasaran jumlah tertentu yang perlu ada dalam rezab Kerajaan Negeri.
Sebaliknya menurut beliau, jumlah rezab tersebut bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.
“Terpulang pada keadaan ekonomi negeri, kalau ekonomi meningkat, hasil negeri meningkat dan tentulah simpanan negeri dipertingkatkan.
“Ekonomi ini ada turun naik, kalau ekonomi turun kita boleh gunakan rezab ini untuk menolong Kerajaan Negeri dalam pentadbiran,” ujar Abdul Khalid lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan