Tidak salah memperjuangkan satu-satu kaum dan
komuniti namun ia tidak seharusnya dilakukan dengan cara yang tidak sepatutnya
seperti dilakukan Perkasa, kata bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad
Badawi (gambar) dalam bukunya.
Melalui bukunya berjudul Awakening: The
Abdullah Badawi Years In Malaysia, Pak Lah berkata menjadi kesalahan
memperjuangkan satu-satu kaum dengan menolak kaum lain.
Kumpulan yang diketuai Datuk Ibrahim Ali dan
Datuk Zulkifli Noordin mendesak agenda kanan, terutama konsep Ketuanan Melayu,
dan mengambil pendekatan keras terhadap mereka yang dilihat sebagai musuh
Melayu dan Islam.
Menjelang pilihan raya, Perkasa
mencetuskan kontroversi apabila mengugut untuk membakar Al-Kitab, Bible
berbahasa Melayu, dan juga video menunjukkan Zulkifli mengkritik agama Hindu.
Menyentuh konsep Ketuanan Melayu, Abdullah
berkata ia tidak seharusnya bermaksud sebagai kuasa mutlak Melayu.
"Apa maksud tuan? Bagaimana kamu menjadi
tuan? Dengan melakukan apa yang kamu buat - sama ada dalam pembelajaran,
profesion, perniagaan.
"Hanya kerana kamu Bumiputera, kamu tidak
boleh jangka semuanya diserahkan kepada kamu dan panggil kamu sebagai tuan.
Ketuanan bukanlah satu hak. Ia perkara yang kamu perlu kerjakan," kata Pak
Lah dalam bukunya.
Beliau mengakui adanya kebimbangan sesetengah
orang Melayu terhadap perjuangan bangsa mereka kerana banyak lagi yang
ketinggalan.
"Bagaimanapun, kebimbangan itu boleh
disalurkan melalui kaedah yang betul, dan bukan melalui cara yang kasar seperti
mana tindakan Perkasa,"kata Abdullah.
"Saya yakin kita perlu ada sebab dan
rasionalnya bila kita berbicara mengenai seseorang," kata Abdullah, yang
dipaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2009 selepas Barisan
Nasional (BN) yang diketuainya memperolehi keputusan yang teruk dalam pilihan
raya.
BN buat pertama kali gagal mendapat keputusan
dua pertiga dalam pilihan raya itu.
Perkasa sentiasa mendapat pembelaan dari bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mendesak Pak Lah
berundur.
Ekoran itu ramai pemimpin Umno enggan
menyuarakan kritikan terhadap kumpulan berkenaan secara terbuka, khuatir kesan
akibat lidah Ibrahim dan akhbar Umno, Utusan Malaysia, satu lagi suara yang
memperjuangkan agenda kanan. - Malaysianinsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan