Ayer Molek - Soal cinta berkemungkinan
menjadi punca sepasang lelaki dan wanita ditemui mati tergantung di dalam
sebuah rumah tinggal di KM10 Bukit Lintang, di sini, pagi semalam.
Difahamkan, inilah antara motif yang kini disiasat
polis dalam kes yang diklasifikasikan sebagai ‘mati mengejut.’ Kedua mayat berkenaan yang sudah berbau dan berulat ditemui seorang pekerja ladang kelapa sawit berhampiran kira-kira jam 9.30 pagi semalam selepas menghidu bau busuk dari rumah berkenaan.
Kedudukan rumah satu tingkat itu juga agak tersorok di celah pokok dan semak serta terletak lebih 60 meter dari jalan utama.
Menurut sumber, polis tidak menolak kemungkinan kejadian berkenaan ada kaitannya dengan cinta kerana siasatan awal polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang petunjuk bahawa ianya satu kejadian jenayah.
Penemuan dua kerusi plastik berhampiran kedua mangsa turut menguatkan andaian bahawa tidak wujud sebarang unsur jenayah.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri atau barangan peribadi milik kedua mangsa di tempat kejadian.
Bagaimanapun, katanya, siasatan awal polis mendapati kedua mangsa, yang berusia antara 20 dan 30 tahun, berkemungkinan besar bukan rakyat tempatan.
Menurutnya, kedua mangsa dipercayai sudah mati antara tiga minggu dan sebulan berdasarkan keadaan mayat mereka.
“Kedua mangsa menggunakan tali nylon yang diikat pada kayu di bahagian atas bilik itu. Akibat pereputan, bahagian bawah mayat telah bercerai dari kepala dan terjatuh ke atas lantai,” katanya.
Menurutnya, mangsa wanita berkenaan berpakaian jaket berwarna ungu manakala lelaki pula berkemeja T dengan kolar dan berlengan pendek.
“Polis berharap sesiapa yang ada maklumat mengenai kejadian ini atau sesiapa yang ada kehilangan rakan atau sanak-saudara akan segera menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.
Kedua-kedua mayat kemudiannya dihantar ke rumah mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, Baharudin Ab Jalil, 59, berkata, rumah berkenaan sudah terbiar semenjak beliau sekeluarga berpindah ke Ayer Molek lebih lima tahun lalu.
“Selepas berpindah saya langsung tidak menjenguk rumah ini lagi. Kalau saya melalui jalan berhampiran rumah ini pun saya sekadar menoleh memerhatikan sahaja.
“Bukan sahaja rumah ini yang terbiar sekarang. Malahan di belakang rumah ini pun terdapat 20 pokok durian selain rambutan yang juga telah terbiar,” katanya.
Menurut Baharudin, beliau mengetahui mengenai penemuan dua mayat berkenaan selepas dihubungi polis yang memaklumkan mengenai kejadian itu pagi semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan