DUNGUN – Tindakan biadab seorang gadis membawa pulang teman lelaki
ke rumah sewa untuk berasmara bukan sahaja memalukan jiran tetangga, malah
lebih mendukacitakan, perbuatan terkutuk itu dilakukan ketika umat Islam lain
berlumba-lumba melakukan ibadat pada malam-malam terakhir Ramadan.
Gadis terbabit yang difahamkan bekerja di
sebuah restoran makanan segera di Dungun sebelum itu dikatakan bersama teman
lelakinya bersiarsiar di pusat beli-belah sebelum pulang ke rumah sewanya
kira-kira jam 11 malam.
Perbuatan itu dilakukan ketika rakan
serumahnya, yang kebanyakannya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sudah
pulang ke kampung masing- masing sempena cuti Aidilfitri.
Ketika serbuan sepasukan pegawai penguat
kuasa syariah dengan kerjasama anggota Unit Kereta Peronda Polis kira-kira jam
1.30 pagi, pintu gagal dibuka menyebabkan tingkap bilik terpaksa diumpil untuk
membolehkan pihak berkuasa masuk ke dalam rumah bagi melakukan pemeriksaan.
Ketika pemeriksaan dibuat,
pasangan itu ditemui dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain tanpa
pakaian atas tilam di sebuah bilik tingkat bawah banglo dua tingkat dipercayai
disewa daripada seorang pegawai kerajaan.
Kedua-duanya yang pada mulanya
tidak menyedari kehadiran penguat kuasa kemudiannya terkejut lalu bangun dari
tidur dalam keadaan terpinga-pinga.
Ketika disoal siasat, pasangan itu mengakui
tidak mempunyai hubungan muhrim.
Pasangan lelaki berusia 21 tahun pula
dipercayai ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan berdasarkan penemuan kad ahli
dalam beg duitnya.
Teman wanitanya pula berasal dari Klang
Selangor, seorang bekas penuntut IPTA berdekatan dan dikatakan saling mengenali
antara satu sama lain sejak setahun lalu.
Kedua pasangan itu kemudiannya dibawa ke
Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan melalui ikat
jamin ahli keluarga.
Mereka bakal dihadapkan ke mahkamah mengikut
Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 atas
kesalahan perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda
maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. –
SINAR HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan