Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj
Perseus dijangka dapat dilihat di ruang angkasa negara ini malam esok sehingga
subuh pada hari Selasa.
Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi
Angkasa Negara (Angkasa) Mhd Fairos Asillam berkata pancuran meteor Perseid
antara paling menarik kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata
kasar di kawasan lapang.
"Pancuran meteor berlaku apabila bumi
melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila
memasuki atmosfera bumi.
"Bagi pancuran meteor Perseid, ia
berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter
nukleus lebih kurang 26 kilometer," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata apabila komet itu semakin
menghampiri matahari, ia juga turut melintasi orbit bumi dan meninggalkan
debu-debu komet sepanjang perjalanannya.
"Debu-debu inilah yang akan memasuki
atmosfera bumi dan menghasilkan pancuran meteor yang dapat dilihat dengan mata
kasar," katanya.
Beliau berkata waktu terbaik menyaksikan hujan
meteor itu ialah selepas bulan terbenam bermula 11 malam. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan