Isnin, 15 Julai 2013

Menteri UMNO: Elak makan ayam kalau harga naik



KUALA BESUT - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek hari ini mengajak orang ramai 'menukar' selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.

Beliau berkata langkah itu dianggap perlu memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

Katanya ia juga bertujuan mengajar pihak berkenaan yang cuba mengaut keuntungan supaya sedar tindakan tidak bertanggungjawab mereka tidak akan berhasil.

"Pengguna perlu guna kuasa untuk ajar pihak tidak bertanggungjawab, kalau tengok harga naik jangan beli ayam tapi beli daging pula," katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Pulau Perhentian dekat sini, hari ini.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Hasan mengulangi gesaan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga ayam sesuka hati sebaliknya menanam perasaan mendahulukan rakyat agar negara terus sejahtera.

"Saya lihat masih ada peniaga yang degil. Fikirlah balik...pada saya letaklah kepentingan negara lebih daripada lain-lain supaya kita tak jadi macam negara lain yang huru-hara.

"Kita sedang pantau dan cari punca kenaikan harga ayam adakah daripada pembekal, pemborong atau peniaga sendiri," katanya.

Selain itu Hasan berkata kira-kira 74 wakil industri termasuk pembekal ayam dan pengeluar gula memberi jaminan untuk tidak menaikkan harga barangan pada musim perayaan Aidilfitri selain memastikan bekalan mencukupi.

"Persatuan Penternak Unggas Melayu di Selangor telah memberi jaminan akan memberi sokongan kepada kementerian untuk memastikan bekalan sentiasa cukup supaya harga kekal," katanya.

Mengenai Ops Harga 2013, Hasan berkata sejak dilancar pada 6 Julai lalu hingga Khamis lepas (11 Julai) sebanyak 26,854 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah pemeriksaan itu 60 kes telah dikenakan tindakan dengan jumlah rampasan bernilai RM10,071 dan kompaun RM7,150.

"Kes-kes yang dikenakan tindakan itu 59 membabitkan kesalahan tidak meletak tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual dan satu lagi kes dikenakan tindakan kerana menjual barang harga kawalan (gula kasar) melebihi harga maksimum yang ditetapkan," katanya. - Bernama

P/S: harga ayam naik jgn mkn ayam,harga beras naik jgn mkn nasi,harga gula naik jgn minum teh tarik, harga petrol naik jgn bawak kereta, harga kain naik jgn pakai baju, darah rakyat naik pru jangan UNDI BN lagi,, buang masa bayar gaji berpuluh ribu kalau dapat jawapan haprak macam ni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive