Khamis, 11 Julai 2013

Sanggup mati,15 minit berpaut pada bonet halang kereta dicuri


PARIT BUNTAR - Bagai aksi lagak ngeri dalam sebuah filem, seorang kakitangan awam dibiarkan berpaut pada bonet keretanya yang dicuri selama 15 minit sebelum tercampak di hadapan sebuah stesen minyak di Kampung Melaka dalam satu kejadian di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Yazid Ghazali, 26 memaklumkan, kereta jenis Honda Civic ES4 warna biru miliknya dicuri di rumahnya sendiri di Kampung Kedah, di sini dan tindakan nekadnya cuba mengejar serta menghalang kereta berkenaan dilarikan turut menyebabkan kaki kanannya patah.

Menceritakan kembali kejadian, Muhammad Yazid berkata, kejadian berlaku pada jam 4.15 pagi kelmarin dan dia berada dalam bilik tidur ketika mendengar bunyi enjin kereta di bahagian luar rumahnya.

"Mulanya saya buat tak endah sebab saya sangka ia bunyi kereta yang lalu-lalang di depan rumah. Tapi hati saya terdetik untuk tengok keadaan di luar rumah bila dengar bunyi kereta sedang mengundur.

"Saya terkejut bila nampak orang tidak dikenali sedang keluarkan kereta saya dari dalam garaj. Saya tak fikir panjang dan terus berlari mendapatkan kereta saya yang cuba dilarikan," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Muhammad Yazid, dia berjaya memintas dan cuba menghalang kereta berkenaan di jalan utama namun tindakan itu telah menyebabkan dia dirempuh lalu terlentang di atas bonet hadapan kereta.

Katanya, selepas itu pencuri kereta terus memecut kereta dan memandu dalam keadaan bersimpang siur untuk menjatuhkan Muhammad Yazid yang berpaut pada bonet kereta.

"Selepas 15 minit, saya terpaksa lepaskan pautan kerana tak dapat tahan kepanasan haba enjin dan tercampak di hadapan sebuah stesen minyak.

"Dengan tidak berbaju serta kaki kanan cedera, saya berjalan kaki sejauh satu Kilometer untuk pulang ke rumah. Saya dibantu orang ramai ketika sampai di Simpang Tiga, Parit Buntar," katanya.


Tambah Muhammad Yazid, berikutan kecederaan yang dialami, dia segera dibawa pulang ke rumah dengan bantuan polis, kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, selepas menjalani pemeriksaan sinar-x, doktor mengesahkan kaki kanannya patah akibat dirempuh oleh kereta dipandu suspek.

"Saya baru guna kereta itu selama setahun dan kejadian ini menyebabkan saya kerugian lebih RM50,000. Pencuri itu bertubuh kecil, berusia lingkungan 20-an dan bukan orang tempatan.

"Saya sudah buat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar dan harap orang awam yang ada maklumat mengenai lokasi terkini kereta saya dapat menghubungi talian 017-565 6012 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.- SH

p/s: jangan risau, menteri umno cakap kadar jenayah berkurangan kikikikikiki

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive