Pemimpin UMNO harus dipersalahkan jika ekonomi Melayu ketinggalan
KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd
Ariff Sabri Abdul Aziz berkata pemimpin UMNO tidak boleh menyalahkan bangsa
lain jika orang Melayu ketinggalan dalam bidang ekonomi atau pemilikan premis
perniagaan sebaliknya persalahkan diri sendiri. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang dipetik Sin Chew Daily
bahawa kadar penyertaan Bumiputera yang rendah dalam bidang ekonomi memberi
kesan buruk kepada usaha negara untuk mengukuhkan perpaduan. “UMNO, mereka ada wakil teramai dalam kerajaan dan
mendominasi kerajaan BN sejak sekian lama, mereka buat pelbagai dasar dan gagal
termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB). “Kalau orang Melayu tidak berjaya, itu maksudnya mereka yang
ada di atas tidak bersungguh bantu orang Melayu,” ujar Mohd Ariff. Katanya, realiti hari ini menunjukkan apa yang
dilaung-laungkan UMNO selama ini konon demi memperkasakan bangsa Melayu sekadar
retorik semata-mata supaya survival politik mereka selamat. “Saya melihat kurangnya pembabitan serius pihak kerajaan
sendiri. Yang ada sekarang ini adalah pemimpin UMNO yang berlumba sesama
sendiri untuk mengagihkan ekonomi sesama mereka,” jelasnya. Selain itu, doktrin UMNO yang dilihat menyebabkan orang
Melayu seolah-olah bergantung harap sepenuhnya kepada kerajaan merupakan satu
pengkhianatan terhadap orang Melayu. “Kita lihat sekarang, orang Melayu, graduan Melayu tidak
memandang bidang perniagaan mendatangkan pulangan kehidupan yang lebih baik.
Sebaliknya mereka melihat peluang bekerja dalam kerajaan seolah-olah
menyelamatkan segala-galanya. Ini adalah hakikat sebenar yang terjadi di depan
mata kita sendiri,” katanya. Tambah Mohd Ariff, kerajaan juga sepatutnya menubuhkan agensi
khusus untuk meramaikan pembabitan orang Melayu dalam perniagaan
dipertingkatkan tanpa sebarang campurtangan politik. Bagaimanapun, sikap tamak pemimpin UMNO menggunakan ahli
perniagaan tertentu dan membolot pelbagai sektor perniagaan juga menyebabkan
peluang orang Melayu lain yang lebih layak tersekat. “Kerajaan menyediakan pelbagai skim, latihan dan sebagainya.
Masih gagal dan terus gagal sebab berkepentingan diri. “Sama juga dengan yang kita istilah sebagai budaya ‘Ali
Baba’. Tabiat UMNO memang macam ini. Dia melaungkan Melayu sana, Melayu sini
tapi sambil menyelam dia ‘jual’ projek kepada bukan Melayu. Bila Melayu tidak
berjaya, salahkan orang lain pula. Ini memang perangai buruk UMNO,” katanya
lagi.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan