PAS
memilih muka baru menjadi calonnya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut iaitu seorang ahli perniagaan yang terkenal
di kalangan masyarakat tempatan, Azlan Yusof atau lebih dikenali dengan nama
Che Long.
Che Long, 48, adalah anak tempatan Kuala Besut. Beliau tinggal di Kampung Baru, Kuala Besut, kawasan yang dikhaskan sebagai kawasan industri perkayuan di daerah ini.
Rumahnya tidak sampai setengah kilometer dari Markas Besar PAS yang terletak di Kampung Baru.
Nama Che Long diumumkan sebagai calon oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar lagi dalam satu majlis ceramah di Kampung Nail, Kuala Besut.
Pemilihan beliau dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung malam semalam.
Che Long, seorang kontraktor juga pernah memiliki sebuah stor kayu yang terkenal di daerah ini. Kini beliau banyak menguruskan kontraknya di daerah ini dan juga di Kelantan, kerana Kuala Besut bersempadan dengan Kelantan.
Pemilihan Che Long adalah satu perubahan pendekatan yang diambil oleh PAS dalam menghadapi PRK ini kerana dua lagi calon yang disenaraipendekkan untuk pilihan raya ini adalah ustaz.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai hari pengundian untuk PRK manakala 20 Julai hari pembuangan undi awal. 12 Julai pula ditetapkan sebagai hari penamaan calon.
PRK itu diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, selepas 50 hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK DUN Kuala Besut.
Pada pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu, A. Rahman memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. BN menang dengan majoriti 2,434 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan