Seorang lelaki berlagak samseng cuba melawan
setelah tindakannya menepuk kepala seorang pengawal keselamatan, di Jalan
Masjid dihalang Menteri Wilayah Persekutuan,
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor, yang secara kebetulan melalui kawasan itu sempena lawatan ke bazar
Ramadan, di sini, semalam.
Terdahulu, pemandu Proton Waja terbabit menuju ke
laluan keluar parkir sebuah premis di situ, namun di halang pengawal
keselamatan berkenaan kerana bertentangan arah.
Sinar Harian difahamkan, lelaki berkenaan
tiba-tiba berang dan bertindak keluar kereta sebelum menepuk kepala pengawal
keselamatan itu.
Tengku Adnan yang melihat
keadaan itu segera menghampiri dan bertindak memegang lengan lelaki terbabit
bagi menghalang tindakan lebih agresif dilakukan kepada pengawal keselamatan
yang agak berusia itu.
Berikutan itu, lelaki terbabit cuba melawan
dengan meninggikan suara, namun ditenangkan seorang wanita dalam kereta sama
kemungkinan menyedari ‘lawan’ lelaki itu seorang menteri.
Keadaan kembali tenang apabila lelaki itu dilihat
akur dan pada masa sama, Tengku Adnan menasihatkannya supaya lebih beradab.
Dalam lawatan sama, seorang peniaga wanita,
menyuarakan rasa tidak puas hati apabila petak perniagaan yang diperoleh hasil
undian diubah ke lokasi tersorok dan memohon perhatian Tengku Adnan
memindahkannya bersama tujuh peniaga lain ke lokasi lebih strategik. – SINAR
HARIAN
Sementara itu, Tengku Adnan berkata, perkara
berkenaan akan diberi perhatian dan akan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) meneliti permintaan untuk memindahkan lapan tapak berkenaan ke lokasi
berhampiran Semua House.
Menurutnya, rungutan mengenai tindakan peniaga
premis memonopoli ruang kaki lima dan permintaan untuk mengekalkan keluasan
tapak juga diberikan perhatian.
“Hari ini saya turun meninjau keadaan di sini,
dan beberapa bazar Ramadan lain untuk mengetahui sekiranya ada sebarang masalah
dihadapi peniaga.
“Saya bersama DBKL akan bincangkan dengan pihak
berkenaan pada Isnin depan dalam usaha menyelesaikannya masalah yang
disuarakan” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan bersama
pegawainya, di sekitar Bazar Ramadan Masjid India dan Pasar Malam Lorong Tunku
Abdul Rahman (TAR).
Dalam pada itu, Tengku Adnan turut berpuas hati
melihat aktiviti perniagaan yang keseluruhannya dijalankan warga tempatan.
“Saya harap keadaan ini dapat dikekalkan dan
tiada peniaga yang bertindak menjual tapak atau memberikan kepada warga asing,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan