Selasa, 30 Julai 2013

Punca Sebenar Pengerusi Mywatch Di Tembak Terbongkar


Ketua badan pemantau anti jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan dikatakan menerima beberapa ugutan bunuh selepas beliau mengancam untuk mendedahkan identiti polis yang jahat, kata bapanya.

Sanjeevan sedang dalam proses mendapatkan perkhidmatan perlindungan keselamatan 24 jam untuk keluarganya apabila beliau ditembak pada Sabtu lalu.

"Dia ada memberitahu kami mengenai ugutan yang diterima tetapi tidak memaklumkan siapa yang bertanggungjawab," kata bapa Sanjeevan, P Ramakrishnan kepada The Malaysian Insider.

"Saya sudah banyak kali memintanya supaya berhati-hati. Saya nasihatkan dia untuk tidak terlalu menyiasat perkara ini, tetapi dia berdegil,” katanya.

Bapa berusia 63 tahun itu, berkata, Sanjeevan yang masih bujang adalah anak bongsu daripada lima beradik itu amat rapat dengan keluarga dan memberi amaran supaya semua ahli keluarga berhati-hati.
Ramakrishnan berkata, Sanjeevan sebelum ini menceburi bidang hospitaliti sebelum memberikan tumpuan sepenuh masa kepada MyWatch.

"Walaupun dia anak bongsu, boleh dikatakan dia agak matang, tetapi sering terbawa-bawa dengan apa yang dilakukannya," katanya.
Sanjeevan ditembak ketika berada dalam kereta bersama seorang rakan di bandar Bahau, Negeri Sembilan, petang Sabtu. Penyerangnya dikatakan dua lelaki bermotosikal.

Mereka melepaskan beberapa das tembakan kepada Sanjeevan, tetapi mangsa yang terkena tembakan di dada selamat dan dipindahkan dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban ke Hospital Serdang, semalam. Beliau yang dikawal rapi dijadualkan menjalani pembedahan.

Anggota polis bersenjata juga ditempatkan berkawal di hospital. Seorang ibu saudaranya yang enggan dikenali berkata, Sanjeevan sentiasa bekerja.

"Dia menganggap kerja anti jenayah sangat serius dan kami bimbang keselamatannya setiap hari. Dia terlalu bercita-cita tinggi dan apa yang berlaku ini umpama mimpi ngeri kepada kami," katanya.

Sejurus selepas kejadian tembakan itu berkata, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menerusi akaun Twitternya berkata, Sanjeevan ditembak kerana beliau akan mendedahkan beberapa anggota polis yang dikaitkan dengan dunia jenayah.

Perkara ini turut didedahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang berkata, Sanjeevan ada memberitahunya bahawa beliau mempunyai senarai nama pegawai polis yang sedang disiasat atas kesalahan berkaitan dadah.

Pengarah Strategi PKR itu berkata, Sanjeevan memberitahunya bahawa beliau yakin jenayah itu amat serius kerana pegawai polis yang disoal siasat itu sedang disiasat mengikut seksyen undang-undang yang membawa hukuman mati.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bagaimanapun, menggesa Rafizi untuk tampil dengan informasi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive